Jalan Kampung Hulu, Kampung Dua
Munshi Abdullah ada menulis tentang “seorang Sayid Arab bernama Habib Abdullah berbangsa Haddad” datang ke Melaka dan meramal kelahirannya, malah menyampaikan pesan kepada ibu Abdullah menamakannya dengan nama habib tersebut. Orang tempatan memberitahu bahawa inilah tokoh yang menyusun kitab zikir, “Ratib al-Haddad” iaitu Sayyid Abdullah ibn Alawi al-Haddad, yang terkenal sebagai ahli Sufi bijaksana dalam sejarah ketamadunan Islam, dan dikatakan makamnya terletak di perkarangan Masjid Kg Hulu, Melaka. Ini sukar diterima, kerana Sayyid Abdullah al-Haddad hanya mengembara di daerah Semenanjung Arab, dan wafat di Tarim, Hadhramaut pada 1719, kira-kira 76 tahun sebelum kelahiran Munshi Abdullah.